Wednesday, 6 December 2017

Amanah seorang manusia


AMANAH? APA ITU AMANAH ? KENAPA AMANAH ITU WAJIB DILAKSANAKAN?

Bismillahirrahmanirrahim..

Amanah ialah satu perkara yang penting yang semua orang wajib laksanakan. Manusia tidak boleh lepas tangan dari menunaikan amanah yang diberikan

Secara umumnya, setiap orang perlu amanah kepada tuhan, diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Maka, tidak hairan lah semua orang diberi amanah dan inshaAllah orang yang beramanah hidupnya akan tenteram dan aman. 

Amanah meliputi pelbagai lapangan, antaranya :

1. Amanah Terhadap Allah Dan Rasul

Ia bermula daripada kedudukan manusia sebagai hamba Allah SWT. Dan fungsi sebagai khalifahNya. Tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah ialah patuh, taat dan tunduk kepadaNya. Tanggungjawab manusia sebagai khalifah pula ialah membangun, memakmur dan melaksanakan islah di bumi ini mengikut kehendak dan tuntutan yang terkandung dalam syariat dan ajaranNya seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Kedudukan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah dengan fungsinya untuk taat, patuh dan mengimarahkan bumi Allah ini ialah satu amanah yang mesti dilaksanakan sepenuhnya. Segala tuntutan agama dan kewajipan yang ditetapkan hendaklah dipikul dan dilaksanakan seperti yang dikehendaki tanpa lalai, ragu dan sambil lewa. Jika ini dilaksanakan, maka seseorang itu telah menunaikan amanahnya kepada Allah SWT sepertimana firmanNya :

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RsulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui (salahnya).

(Al-Anfal : 27)

2. Amanah terhadap Rasul ialah cabang daripada amanah terhadap Allah. Rasul menyampaikan segala ajaran Allah SWT dan menunjukkan bagaimana ajaran itu dilaksanakan.
Perkataan Rasulullah dalam bentuk perintah, nasihat dan saranan menjadi sunnahnya. Begitu juga perbuatan dan pengakuannya merupakan sunnah yang menjadi amanah untuk diterima dan dilaksanakan sebagai tanggungjawab yang dituntut. 


2. Amanah Terhadap Diri Sendiri

Setiap diri kita mempunyai tanggungjawab dan kewajipan dari segi rohaniah dan juga lahiriah. Menjaga kebersihan , kesihatan diri dan memberikan hak-hak anggota tubuh badan merupakan sebahagian daripada amanah terhadap diri yang telah ditetapkan oleh Islam. Oleh itu, mata ,telinga , lidah ,akal adalah pancaindera yang Allah s.w.t berikan kepada khalifah di muka bumi yang bernama manusia. Maka, gunakanlah nikmat yang Allah berikan kepada kita dengan bertujuan baik dan diredhai.

3. Amanah Terhadap Masyarakat Dan Perkhidmatan

Manusia merupakan makhluk bermasyarakat yang saling bergantung dan memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, setiap orang dipertanggungjawabkan untuk memberikan perkhidmatan kepada yang lain mengikut susunan dan kepentingan yang ditetapkan dalam kehidupan bermasyarakat. Perkhidmatan yang dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas mewujudkan hubungan manusia bermasyarakat yang baik.

Semoga perkongsian ini dapat membantu kita menjadi seorang yang beramanah dan berguna inshaAllah.

No comments:

Post a Comment